Tuesday, July 21, 2009

Belanjawan Keluarga

http://www.ehomemakers.net/my/article.php?id=143
Belanjawan Keluarga

by Latha Nayar

Perkataan “belanjawan” boleh dilihat dimana-mana - dari keadaan teruja setiap tahun menjelang pengumuman Belanjawan Negara pada bulan Oktober, kepada lain-lain bentuk belanjawan yang telah kita lihat, atau masih kelihatan di pejabat kita, syarikat dan sebagainya lagi. Tambahan pula, baru-baru ini, terdapat banyak iklan-iklan didalam suratkabar harian dan majalah-majalah mengenai perisian perakaunan / kewangan persendirian – dari syarikat-syarikat besar seperti Quicken, hinggalah ke syarikat tempatan yang kecil. Didalam ruangan ini, saya ingin memperkenalkan BELANJAWAN KELUARGA – satu “pelan tindakan” kewangan untuk keluarga anda.

Bayangkan bahawa kita telah bersedia untuk bertindak, terdapat satu kuasa kuat yang menarik kita untuk duduk dan menulis kira-kira ke atas apa yang patut kita belanjakan – walau bagaimanapun, mari kita lakukan perkara-perkara penjejakan berikut dahulu …

1. Menjejak Perbelanjaan Anda
Ini bermakna anda cuba mendapatkan idea bagaimana corak perbelanjaan anda …

Untuk bulan pertama atau beberapa bulan seterusnya; semakin lama tempoh masa yang anda jejaki, semakin tepat pelan belanjawan yang dapat anda hasilkan, hanya jejaki … maknanya, catatkan kesemua perbelanjaan anda, tidak kira berapa kecil dan tidak pentingnya ia (ya, malah kuih karipap untuk sarapan pagi juga mesti dimasukkan ke dalam catatan tersebut). Buatlah seberapa lengkap dan terperinci yang anda boleh, dan yang paling penting sekali, anda mestilah tulus.

Pada peringkat ini berpotensi untuk memberikan kita “kejutan kecil” kerana kebanyakan dari kita jarang menyedari berapa banyak duit dikeluarkan setiap hari, dan kemana. Jika anda boleh mendapatkan kerjasama dari ahli-ahli lain keluarga anda untuk melakukan perkara yang sama – itu lebih baik lagi! Jika tidak, dan ada kemungkinan perkara ini akan berlaku – cuba dapatkan sedikit idea di atas apa yang mereka belanjakan, berdasarkan kepada kategori !
2. Kategori
Kategori merupakan tajuk-tajuk utama di dalam belanjawan keluarga anda. Dengan mengkategorikan perbelanjaan anda, dan berbelanja berdasarkan pengkategorian anda, anda mencapai 2 perkara. Satu, belanjawan bulanan / tahunan anda tidak akan setebal buku novel James Clavell, dan yang kedua, anda sebenarnya merancang perbelanjaan anda berdasarkan kepada aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan keluarga ANDA. Contoh-contoh kategori adalah:

Barang runcit / perkakasan – Barang-barang makanan, barang-barang dari pasaraya, perkakas dan barangan dapur

Makan di luar

Peralatan dandanan dan kebersihan diri / barang-barang persendirian – Termasuk mekap, tisu tandas, sabun, dll

Perbelanjaan perubatan – Termasuk vitamin dan lain-lain bahan kelengkapan tambahan untuk kesihatan. Masukkan juga pendakap otodontik untuk anak-anak, vaksinasi, dll

Operasi / penjagaan kenderaan – Jika anda mempunyai kenderaan sendiri – masukkan nilai minyak petrol, servis bagi setiap tempoh yang tertentu, baik pulih, keahlian untuk mana-mana persatuan otomobil Malaysia dan juga bayaran ansuran bulanan anda jika ada

Pengangkutan – Untuk tambang bas / teksi / LRT

Perbelanjaan SOHO – Untuk mereka yang bekerja dari rumah, ini merupakan kategori yang penting dan akan merangkumi telefon, faks, komputer, peralatan tulis, kegunaan lain, dsb

Rumah dan taman – Bagi pemilik rumah, masukkan nilai servis dan baik-pulih untuk rumah (contohnya penghapusan anai-anai), servis pinjaman perumahan, penaksiran cukai pintu. Malah boleh dimasukkan tambahan lain : contohnya pagar otomatik, baik-pulih rumah, dsb. Untuk penyewa pula – masukkan duit sewa bulanan. Masukkan juga kos berkebun – penjagaan, pembelian pokok-pokok dan bunga-bunga, pemagaran dsb

Anak-anak – Perbelanjaan khas untuk anak-anak kesayangan kita

Haiwan belaan – Untuk pencinta haiwan, masukkan nilai makanan haiwan belaan mereka, perbelanjaan veterinar, mainan, dsb

Pakaian – Disini, saya ingin mencadangkan supaya ianya dipecahkan kepada pakaian “rasmi” dan “kasual” – sekiranya anda perlu menyusun perbelanjaan mengikut kepentingan mereka dikemudian hari kelak. Masukkan juga pakaian kaki, aksesori, dsb

Perkakasan / Peralatan – Untuk semua peminat DIY (do-it-yourself – lakukannya sendiri) khasnya, dan untuk pengguna dirumah amnya, pasti anda mempunyai simpanan penukul dan paku, mentol (untuk kes-kes mentol terbakar !), fius, dan lain-lain peralatan yang membolehkan anda (atau ahli keluarga yang lain) melakukan pembaikan kecil disekeliling rumah anda

Langganan untuk pencinta bahan bacaan – majalah anda, mahupun sewaan dari perpustakaan, suratkabar dan lain-lain perbelanjaan yang seumpamanya.

Hadiah / hiburan – untuk semua perbelanjaan perayaan, dan kenduri yang tertentu atau hadiah makan malam dsb

Cukai pendapatan ! Dan lain-lain cukai dan lesen

Hobi – Bagi jurugambar amatur, ini termasuklah filem dan kos pencucian, manakala bagi pengait-pengait yang aktif, ini termasuklah benang, rekabentuk yang siap dijual dsb

Lain-lain – Sebagai contoh, bantuan kewangan bagi membantu lain-lain ahli keluarga atau badan kebajikan dsb

3. Sepertimana yang boleh dilihat di atas, mungkin terdapat beberapa tindihan diantara kategori.
Walau bagaimanapun, perkara penting yang perlu diingat ialah kategori-kategori tersebut mestilah “sesuai” dengan anda bergantung kepada gaya berbelanja anda, mahupun cara anda mengkategorikan barang-barang secara mental. Sebagai contoh, yuran sekolah boleh diletakkan dibawah kategori Anak-anak, atau boleh juga direka satu kategori baru iaitu Pendidikan. Semuanya bergantung kepada anda, dengan dasar objektifnya ialah untuk membolehkan anda melihat secara terang kemana duit anda mengalir keluar

4. Mengisi Kategori Berdasarkan Kepada Penjejakan
Selepas kira-kira satu bulan anda menjejaki perbelanjaan anda, adalah lebih baik sekiranya anda mengisi kategori-kategori itu dengan nilai-nilai yang telah anda jejaki.

Disinilah anda perlukan sesuatu sistem – samada secara manual seperti buku latihan atau kertas A4 yang difailkan atau memilih sahaja perisian-perisian komputer yang tertentu.

Secara peribadi, saya mengesyorkan anda memilih program spreadsheet (hamparan elektronik) yang agak mudah seperti Microsoft Excel kerana ia menawarkan kerja-kerja penyediaan yang rendah, dengan kebaikan-kebaikan yang maksimum (sesuatu yang amat berguna bagi orang-orang yang sibuk!). Anda boleh memasukkan data kategori-kategori anda ke dalam spreadsheet, malah memecahkannya kepada pelbagai sub kategori kecil (iaitu kepada setiap baris (row) yang berbeza didalam spreadsheet anda). Kemudian, tambah beberapa jalur (column) untuk setiap bulan yang berlainan bagi tahun tersebut. Anda boleh menambahkannya kepada beberapa helaian kerja (worksheet) yang berbeza mengikut perubahan tahun ke setahun.

Jadi, mula mengisinya dengan data. Dengan memasukkan beberapa formula mudah (contohnya Tambah), anda boleh menetapkannya supaya dapat mengira jumlah keseluruhan dalam pelbagai kategori untuk menghasilkan jumlah keseluruhan perbelanjaan anda secara automatik. Saya cadangkan anda melakukannya untuk tempoh masa sekurang-kurangnya tiga ke enam bulan (walaupun anda akan mendapati gambaran penuh hanya akan diperolehi selepas tempoh setahun, kerana kebanyakan perbelanjaan mempunyai tempoh tamat bagi jangkamasa setahun). Kemudian, selepas tempoh ini, anda boleh pula …

5. Menilai
Berdasarkan kepada pendapatan keluarga, dan daripada butiran perbelanjaan yang telah anda jejaki sebelum ini – bagaimanakah keadaannya ? Adakah anda rasa anda telah terlebih berbelanja? Adakah anda ada membuat sedikit simpanan setiap bulan – untuk kecemasan dsb?

Jika ya, maka untuk masa ini, belanjawan keluarga anda adalah dalam keadaan yang baik, dan anda boleh meneruskan kerja-kerja penjejakan untuk bulan-bulan dan tahun-tahun yang seterusnya – ini akan memberikan anda idea sekiranya terdapat perubahan yang muncul secara tiba-tiba. Sebagai contoh, semasa anak-anak semakin membesar, perubahan keadaan dsb.

Jika anda terlebih berbelanja, atau anda rasa seperti ingin menyimpan lebih banyak lagi – perhatikan dengan teliti pada kategori-kategori anda tadi. Mana-mana yang boleh anda singkirkan – walau bagaimanapun keputusan muktamad adalah, sudah pastinya masih merujuk kepada kecondorongan anda – tetapi sebagai panduan, anda boleh melihat daripada kategori-kategori itu, dari yang memang menjadi keperluan kepada yang hanya sebagai tambahan. Akhir sekali, sebagai kata-kata terakhir – jika anda inginkan Belanjawan Keluarga ini terus memberikan anda maklumat tepat untuk membantu anda dalam perancangan kewangan keluarga anda, maka teruskanlah …

6. Sentiasa Konsisten
Jangan bersikap sambil lewa melakukan kerja-kerja penjejakan, jangan biarkan perbelanjaan hilang tanpa merekodkannya. Jika anda rasa terlalu banya kategori, satukan mereka, tapi pastikan anda mencatat kesemua perbelanjaan anda didalam kategori yang telah anda pilih.

Kesimpulannya, anda akan meyedari bahawa dengan sedikit sahaja kerja-kerja permulaan, dan kesediaan diri untuk tetap meneruskannya, ganjaran Belanjawan Keluarga akan menjadi perkara kedua dalam hidup anda tidak lama lagi, dan bersama-sama dengannya akan datang sekali kebaikan-kebaikannya!

No comments: